Masakan Hari Raya Aidil’Adha Yang Lalu

Ok~ Ok~ Mungkin sudah terlalu lewat untuk saya siarkan entri berkaitan dengan Hari Raya Aidil’Adha ini. Walaubagaimana pun, saya siarkan juga entri ini bagi rujukan saya dimasa akan datang. Untuk pengetahuan, ketika menjelangnya Hari Raya Haji pada 17 November 2010 yang lepas, ketika korang semua sedang bercuti dan beraya, saya bersama-sama dengan beberapa orang rakan sekerja sanggup beraya dengan menunggu pesawat di Hangar. Dengan erti kata lain, saya beraya ditempat kerja…

Dengan berbekalkan seekor ayam kampung yang disembelih oleh ayah saya, seekor ayam daging, ketupat segera dan 10 biji anyaman ketupat yang dibuat oleh kakak saya, maka saya berjaya juga membuat hidangan masakan raya dan menjamu rakan-rakan sekerja di Hangar pada pagi Hari Raya tersebut. Memandangkan ini adalah kali pertama saya masak hidangan raya, maka saya siarkan resepi Masakan Hari Raya Aidil’Adha ini untuk rujukan saya dan sesiapa saja untuk hari raya yang akan datang…

Kata-kata hikmat dari Technicians Line 4, Abg Man yang merasa masakan saya…

Memang elok sangatlah, kau belajar memasak lauk raya macam nih. Practice untuk masa akan datang. Bukan apa, sebab kita nih, ‘Orang Tua’ kita dah tak ada... Macam isteri aku dulu, kelam-kabut tanya kakak aku macam mana nak masak lauk raya. Apa yang kau lalui, aku pun dah pernah lalui…

Oklah, masakan apa yang perlu saya mulakan dulu? Ermm~ kita mulakan dengan Masak Ketupat ya~

CARA REBUS KETUPAT

*Untuk 10 biji ketupat.

– Basuh beras kemudian toskan air dari beras.
– Isikan 1/2 beras ke dalam sarung ketupat. (Masukkan beras ke dalam ketupat, kemudian rasa dan pastikan beras tu berisi 1/2 didalam ketupat.)
– Panaskan air menggunakan periuk besar hingga mendidih.
– Bila air dah mendidih, masukkan ketupat yang dah di isi beras. Masukkan juga 2 helai daun limau purut dan 2 helai daun pandan.
– Rebus selama 2 jam.
– Bila dah masak, padamkan api dan biarkan sejuk. Bila dah sejuk, angkat ketupat dari dalam periuk dan gantung atau letakkan ke dalam bekas seperti tapis untuk toskan air dari ketupat.
– Siap. Sedia untuk dihidangkan.

RENDANG AYAM

Bahan-bahan:

1 ekor ayam dipotong kecil (ikut suka)
*5 biji bawang merah
*2 biji bawang besar
*5 ulas bawang putih
*1 inci halia
*1 inci lengkuas
*1/2 inci kunyit
*3 batang serai
1 sudu cili giling
3 helai daun limau purut dihiris kasar
4 cawan santan
5 sudu besar kerisik
2 keping asam keping (saiz sederhana)
garam dan gula melaka secukup rasa

Cara Memasak:

– Blender/kisar semua bahan-bahan yang bertanda (*).
– Masukkan ayam, bahan yang di kisar dan 2 cawan santan ke dalam kuali dan masak dengan api kecil lebih kurang 1/2 jam.
– Bila ayam dah hampir empuk, masukkan cili giling dan 2 cawan santan. Masak dengan api sederhana hingga kuah hampir kering.
– Bila rendang hampir kering, masukkan kerisik, asam keping dan daun limau purut. Kemudian perasakan dengan garam dan gula melaka (guna gula pasir pun boleh).
– Padamkan api dan buang asam keping untuk elak terlebih masam atau termakan. Siap! Bolehlah dihidangkan.

LODEH JOHOR

Bahan-Bahan:

1 biji bawang besar
2 biji bawang kecil
3 ulas bawang putih
1/2 inci lengkuas
sedikit udang kering/ ikan bilis
1/4 kiub ikan bilis
1 ikat soohun
2 keping tempe
2 keping tauhu
2 biji kentang
1 biji lobak
5 biji lada besar
2 cawan santan pekat
2 cawan santan cair
sedikit minyak untuk menumis
sedikit air asam jawa dan garam secukup rasa

Cara Memasak:

– Hiris bawang besar, bawang kecil, bawang putih, lengkuas, dan lada besar.
– Goreng dan potong dadu tauhu dan tempe.
– Potong dadu kentang dan potong memanjang untuk lobak.
– Rendam soohun dalam air.
– Tumis hirisan bawang besar, bawang kecil, bawang putih, dan lengkuas hingga naik bau. Masukkan udang kering/ ikan bilis. Kacau sedikit.
– Masukkan lada besar dan kiub ikan bilis. Kacau sedikit, kemudian masukkan santan cair.
– Masukkan kentang dan lobak. Tutup periuk dan tunggu hingga kentang dan lobak empuk.
– Bila kentang dan lobak empuk, masukkan soohun, tempe dan sedikit air asam jawa. Kemudian masukkan santan pekat.
– Kacau jangan bagi santan pecah. Bila dah mendidih, masukkan tauhu dan perasakan dengan garam secukup rasa.
– Siap dan boleh dihidangkan.

AYAM MASAK MADU

Bahan-bahan:

1 ekor ayam
1 biji bawang besar
3 biji bawang kecil
3 ulas bawang putih
2 cm halia
1 sudu cili giling
2 sudu rempah kari
3 sudu sos tomato
2 sudu madu
1 sudu kismis kuning
2 sudu biji gajus
sedikit daun kari
sedikit air asam jawa
garam dan gula secukup rasa
sedikit minyak untuk menumis

Cara Memasak:

– Goreng ayam hingga separuh masak. Angkat dan ke tepikan.
– Hiris halus bawang besar, bawang kecil, bawang putih dan halia.
– Tumiskan semua bahan yang dihiris tadi.
– Masukkan cili giling. Tumis hingga pecah minyak.
– Masukkan rempah kari, sos tomato, dan sedikit air asam jawa.
– Masukkan madu, garam dan gula secukup rasa.
– Masukkan ayam, kismis, biji gajus dan daun kari. Masak hingga ayam betul-betul masak.
– Siap dan boleh dihidangkan.

Inilah 4 jenis masakan raya yang biasanya akan dibuat oleh Arwah Ibu saya setiap kali Menjelang Hari Raya. Ermm~ sebenarnya ada tertinggal 1 jenis lauk, iaitu Kuah Kacang. Sebenarnya saya tak sempat nak buat lauk Kuah Kacang, waktu raya hari tu… Tapi tak per lah, menjelang Hari Raya yang akan datang, saya akan belajar cara buat Kuah Kacang pula~

Comments

Trackbacks

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge
:D :) :( :o 8) :eek: ;-( :grin: :wink: :arrow: :idea: :?: :!: :evil: O:) :-| :-* :-(( :poke: :love: :tired: :emotion: :party: :clown: :worried: X( :p
Protected by WP Anti Spam