Salam Aidiladha 1433

Pertama sekali saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha 1433 kepada semua umat Islam diseluruh dunia walau dimana sahaja anda berada. Bagi mereka yang sedang menunaikan Rukun Islam yang ke-5 iaitu menunaikan Haji, semoga selamat dan lancar dalam beribadah dan semoga mendapat Haji yang Mabrur. Insya’Allah…

Untuk Hari Raya Aidiladha kali ini, Masjid di kampung saya, iaitu Masjid Pekan Gerisek telah pun menumbangkan 4 ekor lembu bermula pada 2.30 petang tadi. Memandangkan rumah saya sememangnya terletak berhampiran dengan Masjid Pekan Gerisek, jadi sempat juga saya datang melihat orang kampung saya bergotong-royong memotong, menimbang dan mengagihkan daging lembu korban kepada penduduk kampung. Ok, mari kita ‘cuci mata‘ melihat beberapa gambar daging lembu korban…

Semasa menjelangnya sambutan Hari Raya Haji untuk kali ini, ada beberapa perkara telah membuatkan saya tertanya-tanya tentang hukum-hakam yang berkaitan dengan Ibadah Korban. Memandangkan kita sebagai rakyat Malaysia yang hidup berbilang kaum, ianya tidak lari dari kita sama-sama menyambut apa saja perayaan yang diraikan. Dibawah ini saya senaraikan 2 persoalan yang terlintas difikiran saya iaitu;

  • Apa hukumnya jika kita berikan/ sedekahkan daging korban kepada orang bukan Islam?
  • Apa pula hukum kita membuat Ibadah Korban ditempat lain atau negara lain, selain dikampung halaman kita?

Hasil dari ‘research‘ saya di Google telah menemukan saya dengan sebuah Laman Web ‘Jemaah Islam Malaysia (JIM)‘ yang ada menceritakan secara terperinci mengenai persoalan yang bermain difikiran saya. Jadi, ‘quote‘ dibawah ini saya sertakan jawapan bagi persoalan saya tadi. Semoga ianya dapat dijadikan rujukan bagi diri saya dan sesiapa sahaja yang membacanya pada masa akan datang.

Daging Korban dan Bukan Islam

Yang diketahui umum dan menjadi amalan orang Islam di Malaysia daging korban tidak boleh diberi makan kepada orang bukan Islam. Namun demikian merujuk kepada pendapat-pendapat yang dikemukakan ulama mazhab dalam isu ini, kita dapat mengesan berbagai-bagai pendapat dengan hujjah masing-masing. Melalui pendapat-pendapat ini umat Islam mungkin dapat menemui jalan keluar daripada isu ini.

Dalam kitab Kasyf al-Qina` 3;19 penulisnya menyatakan bahawa golongan Malikiyah berpendapat makruh memberi makan daging korban kepada orang-orang Yahudi dan Nasara. Mazhah Hanbali pula mengharuskan memberi hadiah daging korban sunat kepada orang bukan Islam, tidak harus menghadiahkan daging korban wajib kepada mereka.

Dalam al-Bajrimi 4:285 dinyatakan tidak harus memberi makan daging korban kepada bukan Islam. Dinyatakan juga bahawa dalam kitab al-Majmu`  disebutkan harus memberi makan daging korban sunat kepada golongan fakir miskin ahli zimmah, tidak harus memberi mereka makan daging korban wajib.

Dalam al-Majmu` Syarh al-Muhazzab 8:404 disebutkan bahawa Ibn al-Munzir menyatakan ulamak telah sepakat (ijma`) bahawa daging korban boleh diberi makan kepada fakir miskin orang Islam, namun mereka khilaf tentang memberi makan daging korban kepada golongan fakir miskin kafir ahli zimmah. Imam Hasan al-Basri telah memberi keringanan (rukhsah) memberikan mereka memakannya. Abu Thur juga berpendapat demikian. Di sebutkan juga bahawa Iamam Malik lebih suka ia diberi makan kepada selain fakir miskin bukan Islam. Al-Lith menganggapnya makruh, namun berpendapat jiuka ia dimasak ia harus diberi makan kepada mereka beserta fakir miskin Islam.

Ibnai Qudamah dalam al-Mughni wa al-Syarh al-Kabir 2:381 dan al-Syarbini dalam al-Iqna` 2: 581 menyebutkan mazhab Maliki berpendapat  makruh menghadiahkan dan memberi makan daging korban kepada orang beragama Yahudi dan Nasrani. Mazhab Hanbali, al-Hasan, Abu Thur, berpendapat harus memberi hadiah dan memberi makan orang bukan Islam, kafir zimmi  daging korban sunat, tetapi daging korban wajib, seperti korban nazar tidak harus. Hukumnya sama dengan hukum zakat dan kifarat sumpah. Mazhab Syafie pula berpendapat tidak boleh memberi hadiah dan memberi makan orang bukan Islam daging korban sunat atau wajib.

Ibh Hazmin dari Mazhab Zahiriyah dalam kitabnya al-Muhalla 7:383 menyatakan tuan punya korban boleh memberinya makan kepada orang kaya dan orang bukan Islam atau dia menghadiahkan sedikit daripadanya.

Dari semua pendapat yang dinukilkan ini beberapa kesimpulan boleh dibuat:
1.    Mazhab Syafie berpendapat haram memberi makan daging korban sunat atau wajib kepada orang bukan Islam.
2.    Mazhab Maliki berpendapat makruh memberi makan daging korban sunat kepada orang bukan Islam dan tidak harus (haram) memberi mereka makan daging korban wajib, seperti korban yang dinazarkan, sama seperti hukum zakat.
3.    Mazhab Hanbali berpendapat harus menghadiahkan daging korban sunat kepada orang bukan Islam dan haram menghadiahkan kepada mereka daging korban wajib.
4.    Semua ulamak mazhab sepakat (ijma`) memberi atau memberi makan daging korban atau akikah wajib kepada orang bukan Islam adalah haram.

Ini bererti hanya ulama Mazhab Syafi`ie sahaja yang berpendapat daging korban sunat atau wajib tidak boleh (haram) diberi atau diberi makan kepada orang bukan Islam. Manakala majoriti ulama lainnya berpendapat harus memberi mereka makan daging korban sunat, tidak harus jika korban wajib.

Dalam konteks Malaysia yang rakyatnya terdiri daripada penganut pelbagai agama, pendapat majoriti ulama yang mengharuskan orang bukan Islam diberi atau diberi makan daging korban sunat lebih baik diterima pakai dalam usaha meyakinkan masyarakat bukan Islam dapat melihat bahawa Islam itu memang satu sistem yang mesra bukan Islam dan dapat memelihara kemesraan hidup silang agama. Di samping itu menerima pakai pendapat majoriti ini juga dapat memberi ketenangan kepada orang Islam sendiri, kerana mereka tidak merasa bersalah kerana melanggar hukum syarak dengan memberi  atau menjemput makan daging korban atau akikah sunat. Tindakan ini dianggap sebagai maslahah. Berpindah dari pendapat ulama Mazhab Syafi`ie kepada pendapat majoriti ulama atas alasan maslahat atau kekuatan hujjah bukanlah suatu keaiban, negatif atau terlarang.

Melakukan Ibadat Korban di Tempat Atau Negara Lain

Melakukan ibadat korban di tempat atau di negara lain bermaksud seseorang yang berada di satu qariah, daerah atau negeri tidak melakukan ibadat korban di tempat beliau bermukim, tetapi melakukannya di qariah, daerah atau negeri lain. Termasuk juga tidak melakukan ibadat korban di negara sendiri tetapi melakukannya di negara lain, seperti rakyat Malaysia melakukan ibadat korban di Kemboja. Ia juga boleh bermaksud ibadat korban dilakukan di tempat atau negara sendiri tetapi dagingnya dipindahkan ke tempat lain, sama ada qariah, daerah, negeri atau negara lain.

Para ulama mazhab mengemukakan pendapat, yang berbeza dalam isu ini. Dalam penulisan-penulisan mereka isu ini diberi tajuk ‘memindahkan korban ke tempat lain’.

Wahbat al-Zuhaili dalam al-Fiqh al-Islami Wa Adillatu 3:633–634 merumuskan bahawa Mazhab Hanafi berpendapat, sama seperti zakat, korban makruh dipindahkan dari tempat asalnya ke tempat lain, kecuali jika pemindahan itu bertujuan untuk memberikannya kepada kaum kerabat atau mereka yang lebih memerlukan daging korban itu. Kalau dipindahkan juga ia diterima tetapi makruh.

Mazhab Maliki pula berpendapat tidak harus memindahkan korban ke jarak yang melebihi jarak (masafah) yang membolehkan qasar solat, kecuali penduduk di tempat itu lebih memerlukan daging korban tersebut berbanding penduduk tempat asal yang berhak menerimanya. Dalam keadaan ini sebahagian besar daging itu hendaklah dipindahkan ke tempat mereka yang memerlukannya dan sebahagian kecilnya diagihkan di tempat asal korban itu.

Ulamak Mazhab Hanbali juga sama pendapat dengan Mazhab Maliki; boleh memindahkannya ke tempat yang kurang dari jarak yang membolehkan solat qasar dan haram memindahkannya ke tempat yang melebihi jarak yang membolehkan solat qasar.

Ulama Mazhab Syafi`ie mengharamkan daging korban dipindahkan ke tempat lain.

Ada beberapa perkara dapat dirumuskan dari penjelasan di atas:
1.    Semua ulama mazhab, kecuali Mazhab Syafi`ie sepakat mengharuskan korban dipindahkan ke tempat lain sekiranya penduduk di tempat itu lebih memerlukan daging korban tersebut berbanding penduduk tempat asal korban itu. Cuma Mazhab Maliki berpendapat sebahagian kecil daging itu mestilah diagihkan kepada mereka yang berhak menerimanya di tempat asal korban itu.
2.    Hanya ulama Mazhab Syafi`ie sahaja yang mengharamkan secara mutlak pemindahan korban dari tempat asalnya.

Untuk membuat pertimbangan dalam memilih salah satu daripada dua pendapat di atas, maqasid syariah (tujuan di sebalik hukum syarak) hendaklah diambil kira dan diberi keutamaan. Maqasid syariah di sebalik semua hukumnya adalah menjamin maslahah manusia. Maslahat manusia dapat dijamin dengan dua cara: pertama dengan menolak bencana dan kedua dengan menjana maslahat. Menurut kaedah syarak: menolak bencana didahulukan daripada menjana maslahat.

Dalam konteks pemindahan korban yang mungkin menjadi isu sekarang ialah memindahkan  korban dari satu negara ke negara lain. Di Malaysia telah ada institusi yang memberikan khidmat membantu rakyat Islam Malaysia yang ingin melaksanakan ibadat korban di negara lain, seperti di Kemboja dan di negara-negara minoriti Islam yang lain. Apakah amalan ini  lulus dari sudut pandangan syarak atau tidak.

Ulamak Mazhab Syafie telah tidak mengharuskannya. Ulamak mazhab lain telah mengharuskannya dengan syarat penduduk di tempat itu lebih memerlukan daging korban tersebut.

Ditinjau dari sudut maslahat dan keperluan manusia yang menjadi maqasid kepada syariat Islam pendapat ulamak selain mazhab Syafi`ie yang membolehkan korban dipindahkan ke tempat lain adalah lebih baik diterima pakai, kerana memindahkan korban ke Kemboja umpamanya, dapat   memberi lebih banyak manfaat kepada penduduk Islam di sana yang jauh lebih memerlukan daging korban itu berbanding penduduk Islam di Malaysia. Memang tidak dinafikan mungkin di Malaysia juga terdapat orang Islam yang sama miskin dengan penduduk Islam Kemboja, namun secara rawak keadan penduduk Islam di Malaysia jauh lebih baik daripada penduduk Islam di Kamboja secara amnya. Dengan penilaian ini sebenarnya tidak ada sesuatu yang meragukan dari sudut hukum syarak memindahkan korban dari tempat asalnya ke tempat lain dengan berpegang kepada pendapat majoriti ulamak mazhab, kecuali Mazhab Syafi`ie. Sekali lagi dinyatakan bahawa tiada cacat atau celanya menerima pendapat mana-mana mazhab atas dasar maslahat atau kekuatan hujjah.

**Petikan artikel ‘Beberapa Isu Mengenai Ibadat Korban’ oleh Ustaz Alias Othman, Penasihat Syariah, Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM).

Ok, boleh faham tak? Dimana ‘point penting’ pada petikan artikel diatas, telah saya ‘highlight’ kan bagi memudahkan pemahaman.

Akhir sekali, dibawah ini saya sertakan link-link artikel saya terdahulu yang berkaitan dengan Sambutan Aidiladha. Ada diantara artikel tersebut yang kreatif dan menarik. Jadi, sudi-sudilah membacanya…

Masakan Hari Raya Aidil’Adha Yang Lalu

Terkorbannya 7 Ekor Lembu…

My Little Chick & Salam Aidiladha…

 

Nur Istimewa

2 comments

  1. Hafizul says:

    wahh 4 ekor lembu..banyak tu..hehe..selamat hari raya
    Hafizul´s last [type] ..Keindahan Alam Membuatkan Hati Ini Terfikir

    [Balas Komen]

    Akuro San Reply:

    selamat hari raya juga~ maaf zahir batin..

    [Balas Komen]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

CommentLuv badge
:D :) :( :o 8) :eek: ;-( :grin: :wink: :arrow: :idea: :?: :!: :evil: O:) :-| :-* :-(( :poke: :love: :tired: :emotion: :party: :clown: :worried: X( :p